Saturday, March 27, 2010

Kuakkan Mac dan RabiulAwwal


Catatan ini ditujukan khas buat keluarga tercinta di Paka ,Terengganu

"It was such along time not to compose"

Itulah gambaran kasarnya kepada blog ini mutakhir ini . Sibuk dengan pelajaran , aktiviti komuniti dan aktiviti peribadi . Semuanya seolah-olah memerlukan masa yang lebih dari 24 jam untuk melakukannya . Bagaimanapun waktu yg lepas hanya tinggal sejarah dan ia penting sebagai panduan dimasa hadapan untuk tidak berulang lagi .

Kalau diikutkan hati dan fikiran , banyak sahaja nak dituliskan dalam blog ini sepanjang tempoh waktu tersebut . Tapi apakan daya itulah tanda kelemahan manusia untuk tidak mencapai semuanya dalam betul-betul sempurna . Sebahagian dari rentetan kisah dibawah mungkin hanya separuh dari perjalanan bulan March , jika teringat kembali insyallah akan dinyatakan dalam kisah-kisah yang mendatang . Dari satu sudut lain , semua ini membuktikan bahawa kita mungkin telah tahu menilai dan menyampaikan segala kenangan atau kisah yang baik dalam bentuk tulisan jelas , tetapi kelemahan masih ada dalam untuk memupuk sifat pantas dalam menyampaikan semua itu . Inilah perbezaan yang ada dalam diri along dengan orang yang pintar.

"Hari ini kita di Institusi yang sama , tetapi belum tentu dapat memberi persaingan yang sama"

Sambutan Maulidur Rasul MSC
Tercari kisah dibulan Mac ialah kehadiran bulan Rabiul Awwal yang mana penuh dengan cerita dengan Maulidur Rasul . Bersempena dengan itu satu Majlis pengisian dianjurkan untuk komuniti Melayu di sini oleh Malay Speaking Circle (MSC , Liverpool) . Ustaz Erfino telah dijemput untuk memberi pengisian pada hari tersebut .


Ustaz mengajurkan untuk mencontohi keperibadian rasulullah yang terbukti selama ini memupuk ukhuwah sesama umat Islam . Tidak disangkal lagi agama lah yang menyatukan hati orang-orang beriman . Oleh kerana selaku perantau yang jauh dari tanahair , semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh lebih 70 keluarga Malaysia yang berada diLiverpool ini bukan sahaja perlu diteruskan bahkan dibuat penambah baikan . Umumnya bermula dari zuriat anak-anak , cara pendekatan rasulullah kepada kanak-kanak sangat lah halus dan menggalakkan daya pemikiran .

Tambah Ustaz Erfino lagi , bangsa Melayu kerap memisahkan anak-anak kecil dari turut serta dalam pergaulan orang dewasa dan melarang mereka supaya tidak mendekati ketika orang tua hendak solat . Walaupun ia dibuat dengan sebab supaya tidak menganggu , secara tak langsung proses kematangan anak-anak menjadi sedikit terbantut dan hikmah Rasulullah memegang bayi sekecil adik diatas ini ketika solat , sangat besar untuk mendidik mereka tentang solat dan larangannya . Jika inginkan seorang anak yang baik solat dan pergaulannya , bukan sahaja melakukan seperti apa yang dibuat oleh Rasulullah seperti diatas . Tetapi mencari lagi contoh akhlak dan sunnah Rasulullah yang lain dari ustaz-ustaz yang sedia maklum kita tahu selok beloknya untuk panduan kehidupan kita bersama .

Makan makcik..bukan senang nak jumpa sate..:))


Cenderahati oleh Pengerusi MSC , Saudara Azman


Husting fo ISOC , NUS and Lgos Election

Demam pilihanraya Universiti turut melanda sepanjang bulan ini . Secara zahirnya diMalaysia memang menjadi lumrah akan ada perbezaan dari segi cara dan kendalian pilihanraya antara institusi Malaysia , apatah lagi jika dibandingkan antara 2 buah negara ini . Jadi peluang yang tersorong kali ini dimanfaatkan sebaiknya . Pentadbiran kesatuan pelajar disini dilakukan secara berpusat untuk 2-3 buah institusi . Di Liverpool , bangunan Lgos menempatkan kesatuan-kesatuan pelajar untuk University of Liverpool , Liverpool John Moore University dan University of Hope . Kos bangunan ini ditampung oleh Kerajaan Britain pada peringkat permulaannya , tetapi kini segala kos mampu ditanggung dari hasil aktiviti yang dilakukan oleh pelajar . Jadi mereka akan bergiat aktif membuat aktiviti kampus , kebajikan , konsert dan sebagainya sehinggalah mempunyai dana yang kukuh seperti sekarang .

http://www.lgos.org

Manifesto pilihanraya mereka memang serius dan tidak sekadar bermain kata . Ia akan dilaksanakan selepas sahaja aktiviti pentadbiran bermula . Jadi antara pilihanraya besar tahunan disini ialah NUS(National Union Student) dan Lgos (Liverpool Guild of Student) . Selebihnya adalah kesatuan yang terlibat dengan pelajar . Kelab kesatuan yang di sertai along banyak tetapi banyak bergiat aktif dalam Islamic Society(Isoc) , Malay Speaking Circle (MSC) , Liverpool Malaysia Student (LMS) dan Engineer Without Border (EWB) .

Sistem Undian Maya
Ketika pilihanraya urusan pembuangan undi dilakukan secara online . Pelajar hanya perlu memasuki laman portal Lgos kemudian diikuti dengan 'log in' kepada akaun , membuang undi dan menghantarnya 'submit'. Senang , cepat tetapi jika dilihat daripada jumlah pelajar yang membuang undi masalah yang sama tetap ada dimana-mana . Hanya sebahagian sahaja golongan muda-mudi sekarang yang peka kepada kepentingan mengundi dan kebanyakan tidak mempedulikan . Bagi yang betul-betul menolak tuntutan ini , alasan yang diberikan ialah sudah ada orang yang sanggup buat dan undi dia tak menganggu gugat perjalanan pilihanraya .

Entri ini tidaklah sangat menarik kalau dilihat dari segi kenangan hidup tetapi sangat berguna untuk sebahagian daripada hidup seorang muslim . Politik dan pentadbiran adalah sebahagian dari Islam dan menjadi tanggungjawab muslim untuk tahu-menahu tentang perkara sebegini . Jika dilihat dari peratusan suara ketika kejatuhan sesebuah pimpinan adalah datangnya dari golongan mahasiswa yang merujuk kepada muda-mudi . Tetapi jika budaya tidak mengambil peduli ini terus dibiarkan , apakah relevan sebuah peralihan kuasa dilakukan dengan betul tanpa mengambil tahu apa yang berlaku dan sebagainya .

Bath Trip 20 March 2010 (KUL)
Memandangkan sudah kesekian lamanya tidak bersosial , akhirnya lawatan anjuran KUL ke bandar yang penuh bersejarah ,Bath disertai oleh along dan rakan-rakan . Bandar yang sangat cantik terkenal dengan bangunan bewarna warna kuning pucat bercirikan Rom . Sejarah tempat ini suatu ketika dahulu ia adalah dibawah taklukan Rom . Jadi banyak peninggalan yang terkenal seperti The Royal Cresent , Bath Roman , Sally Bun (famous bread in the world) , dan tak lupa penulis buku terkenal 'Pride and Prejudice' oleh Jane Austen masih teguh berada disini .


Dari sudut akademik University of Bath adalah universiti yang paling termasyhur dalam senarai jurusan arkitek , dimana ia berada dikedudukan pertama dalam senarai universiti United Kingdom .

Peserta Lawatan ke Bath

Quiet Street

Jalur Gemilang di Bath

Roman Sculpture
Sehari suntuk nun jauh diselatan England memang menghilangkan segala rasa tekanan dalam belajar . Diharapkan lawatan sebegini dapat diteruskan dimasa akan datang .

Dunia ini Kecil bukan

SRP'97 , SKSP'98.....2010,University of Liverpool

Dikit demi dikit terbukti , bahawa orang yang ada disekeliling kita sekarang pernah berada hampir dengan kenalan kita suatu ketika dahulu . Cerita ni bermula apabila duk sibuk melayani internet along terjumpa 2 gambar bersejarah . Dua sekolah yang berbeza tetapi membawa suatu kenangan yang mencuit hati untuk dikongsi bersama .


Sekolah Rantau Petronas 1997

Gambar diatas dirakam pada tahun 1997 , kalau dikaji dari sudut suasana seolah-olah ia adalah pada Hari Sambutan Kemerdekaan yang ke-40 . Dalam gambar ini angah dan naim pun ada jugak kalau diperhatikan betul-betul . Tapi yang paling menggamit memori along ialah inilah barisan rakan-rakan yang ditinggalkan ketika waktu itu tanpa memberitahu mereka bahawa along akan berpindah ke sekolah lain pada tahun hadapan .

Sepanjang bersekolah disini , terlalu banyak kenangan yang ditempuhi samaada yang manis ataupun pahit (dikenang manis jua) . Masih ingat lagi ketika itu , penguasaan bahasa inggeris ku tidak lah sekencang pelajar-pelajar yang telah masuk kesekolah itu . Sekolah ini merupakan sekolah swasta pihak Petronas dan kebanyakan anak-anak mereka pintar kerana pendedahan yang mampu diberikan oleh ibu bapa mereka yang berada itu .

" Anok-anok orang kaye ning mungkin dia ekk(megah) sket , budok-budok sekolah ni pun byk ckp omputih aboh tgk ".

Itu komen abah selepas 2-3 kali ke sekolah tu untuk urusan permohonan masuk ke SRP . Lantaran itu abah memberi tips ayat berikut.....

Kalu ada dengar orang bisik-bisik ngata "He is fat boy and ugly,carry big bag....ke along , tu maknanya ye kata budok ni gemok , bowok beg besor ' . Sambung Abah lagi "Kena cakap guna bahasa standard nge dia , kekgi ye dok paham"........:)

Walaupun sependek itu ayat Inggerisnya tapi yang along igt ialah 'fat' sahaja . Dalam hati ini pada waktu tu , " La ye nk kata ah , duli ape , janji gi belajor " . Nasihat abah itu tetap diingat dan berguna pada masa tu .

Ternyata 3 tahun disana banyak mempelajari sesuatu yang baru yang tidak ada disekolah kebangsaan kerajaan . Suasana para pelajar yang kebanyakan berlatar belakang orang senang , tidak sama dengan keadaan 3 tahun ketika disekolah kebangsaan paka . Tetapi itu tidak banyak merubah suasana , faktor yang paling jelas ialah pendedahan , penggunaan dan pelaksanaan kaedah belajar yang ada antara 2 buah sekolah ini sangat berbeza . Isu Bahasa Inggeris umumnya sesorang murid mungkin perlahan dari kemampuannya tetapi jika guru meletakkan usaha yang seolah-seolah membayangkan murid tersebut perlu beroleh segala ilmu untuk layak menjadi seorang guru sepertinya , InsyAllah idea , cara dan teknik penyampaian akan lahir dengan semulajadinya kerana ia fitrah manusia . Banyak ulasan yang boleh lahir dari pernyataan diatas tetapi along lebih suka biarkan ia menjadi buah fikiran sesiapa yang membaca supaya kemahiran berfikir bertambah .

Kenangan dalam kelas darjah pula , tiga tahun bergaul (darjah 1-3) dengan rakan-rakan di Sekolah Kebangsaan Paka , kami memanggil alat tulis roba(pemadam), gorek(pengasah pensil) dan kalam(pensil) sebagain medium bahasa . Tetapi bila hari pertama di SRP semuanya berubah . Ceritanya...

Along : "Buleh dok saye nk pinjang gorek awak?"
SRP : "Gorek ?"
Along : "Ho , gorek (smbil tunjuk pensil) saya nok wak tajam kalam saye , tumpul glenyeh "
SRP : "Apa awak cakap ni ?"
Along : (Dalam hati : Eh gayembok cakap luor dia ni)

....tiba-tiba teringat pesanan abah utk tak guna bahasa standard

Along :"Ni yang oram gune nak wat tajamkan pensil ni ...
(Berbelit-belit lidah ckp bahasa bangku disulami dialek terrengganu)

SRP2 : Sharpener...!!!...sapa pelajar yang faham maksud along

Ya rabbi bukan main payoh nye nak cakap . Tetapi walau sekecil itu penggunaan dan pendedahan ia memberi impak yang baik dalam penguasaan bahasa inggeris along selepas itu.


Masih segar dalam ingatan semua ini berlaku begitu cepat , urusan menukar sekolah dilakukan kerana laluan pelajar sekolah swasta untuk ke sekolah berasrama penuh selepas tamat UPSR adalah sukar . Jadi Ummi dan Abah mengambil langkah awal dengan menempatkan kami bertiga adik-beradik along , angah dan acik kembali ke sekolah kebangsaan biasa . Pada waktu itu tiada perkhidmatan internet , handphone dan sebagainya . Kemudahan telefon sangatlah mahal dan tidak mustahil along pada ketika itu hendak menggunakan telefon sewenang-wenangnya kerana kos yang mahal . Jadi tiada sebarang perkhabaran diberi kepada kawan-kawan , bahkan mereka turut merasa benda yang sama apabila kehilangan rakan yang tiada khabar berita . Semua kesedihan itu dihanyutkan dengan senyuman baru ketika melangkah masuk ke sekolah dibawah . Kenapa ya ?


Sekolah Rendah Seri Paka , 1998

Bayangkan episod dan skrip nak pinjam penggorek yang berlaku di sekolah SRP tadi , terpaksa diterengganu kan balik . Jadi huru-hara bila kita sebut nak pinjam 'sharpener' , kena basuh disain2 ,

"Gayembok ckp omputih" .....Hahaha...(Kena muka , duk kata org sgt dulu dalam hati) .

Episod baru diSekolah Kebangsaan Seri Paka seolah-olah seperti semua kenangan manis yang ditempuh di SRP diulang lagi dengan berlainan watak dan keadaan . Semua tu terus kekal dalam ingatan sepanjang along bersama-sama kenangan hempas pulas untuk kejayaan UPSR 1998 .

Kelebihannya dari semua itu along tahu berkomunikasi dengan pelbagai lapis kumpulan sosial dan ini semakin mengukuhkan bukti setiap penghijrahan(pindah sekolah) ada kebaikan yang akan diterima . Ummi dan Abah berniat nak menempatkan along diSRP yang baik tetapi jauh sehingga kena naik Van seawal jam 6.00 pagi . Along yang berpindah-pindah sekolah kerana mematuhi perintah Ibu Bapa hanya terus gigih dalam pelajaran yang akhirnya memberikan pengajaran yang sangat lumayan tiada dalam sukatan pendidikan .

Dunia ini kecil bukan...apa kaitan dengan semua cerita ni ? Pasti tertanya-tanya ...

Kalau diukur hingga tahun 2010 , dah 13 tahun along tinggalkan rakan SRP kerana berpindah ke SKSP , dan 12 tahun kami rakan-rakan berpecah haluan selepas UPSR 1998 . Walaupun tak sempat meninggalkan alamat atau apa-apa sahaja pesanan untuk jalan hubungan , Allah mempertemukan semua jiwa-jiwa rindu itu nun jauh diLiverpool . Bagaimana , bila dan siapa mungkin orang tertentu sahaja yang tahu tetapi yang lebih merasai kegembiraan nya ialah diri ini . Sebahagian rakan-rakan dalam gambar diatas berada di bumi United Kingdom menuntut ilmu dalam bidang masing-masing . Sebahagian nya pula adalah kenalan kepada kenalan atau pun saudara kepada kawan-kawan di Liverpool .

Jadi betapa jauhnya hikmah Allah disebalik perantauan beribu batu dan perpisahan yang mencapai sedekad usianya , kami dipertemukan dengan pelbagai jalan melalui janji dan izinnya.

" Kalau dah jodoh dan takdir , InsyaAllah (dengan izinNya) kita akan bertemu "

Dunia ini kecil bukan bagi Allah taala dan setiap genap penjuru adalah dibawah kekuasaanya untuk ditentu dan diatur . Allah dah tentukan 4 perkara kepada setiap roh ketika diLuh Mahfuz dahulu, selepas itu ditiupkan roh itu kedalam janin yang telah berada 120 hari dalam kandungan ibu . Apa dia 4 perkara tersebut , tidak lain tidak bukan ialah Umur & Ajalnya , Rezeki & Musibah , Amalnya dan Jodoh . Terpulang kepada kita jalan baik atau jalan yang buruk kita nak pilih , Allah telah tetapkan semua 4 perkara yang akan diterima oleh kita kepada setiap jalan-jalan tersebut . Betapa halus dan rapinya pengetahuan dan penguasaan Allah kepada hidup dunia ini , sehingga setiap kejadian Along bertemu kembali rakan-rakan yang terpisah lama membuktikan dunia ini sangat kecil , percayalah setiap insan yang ada disekeliling adalah insan yang pernah ada bersama dengan kenalan kita dahulu.

Anugerah dan Ujian

Hadiah semangat positif dalam diri kian membuak-buak untuk memilih jalan yang baik kearahnya . Dan memang menjadi hak Allah taala untuk memberi dan menguji . Tidak menjadi niat Along untuk menitipkan kisah yang tidak senang dalam blog ini . Tetapi bila dilihat kepada sudut kebaikan sejagat , ia mesti diletakkan disini untuk mengelak sebarang fitnah dimasa mendatang .

Ketika penghujung bulan Mac , along ada pergi berjalan-jalan ke Manchester . Waktu berlepas dari stesen lebih kurang jam 11.00 malam . Agak lewat kerana tidak dapat ambil tren awal disebabkan kerja kursus yang disiapkan . Kebetulan pada malam itu adalah malam minggu , dan waktu 11.00 malam muda mudi yang mabuk mencari tren pulang .

Ketika dalam tren tempat yang paling selesa ialah kerusi yang mempunyai meja . Dan ia adalah kerusi seperti dibawah . Disebabkan tiada orang disitu jadi along memilih untuk duduk ditepi tingkap , selesa dan luas .

Posisi Kerusi Tren

Nauzubillah , mintak dijauhkan untuk masa akan datang kisah yang berlaku malam itu . Sedang along duduk diposisi dalam gambar , datang 3 perempuan muda berpakaian kurang sopan dalam keadaan mabuk minta nak duduk disitu . Jadi secara spontan along kata duduklah dengan berfikir tak ada apa-apa yang berlaku dan menjadi hak orang lain duduk dikerusi kosong walaupun tempat lain banyak .

Nak dikatakan sengaja membiarkan perempuan duduk tidak , kalau ada makcik tua yang nak duduk pun kena bagi sebab hak masing-masing . Tapi kalau makcik tua yang duduk sudah tentu sepanjang tren akan ada perbualan yang menarik tentang kehidupan dan destinasinya . Tetapi perempuan muda yang mabuk tadi macam-macam ragamnya . Mula-mula dia ajak berbual tanya nama , asal dan nak ke mana , buat apa disana dan sebagainya . Mana yang relevan dijawab lah kita . Oleh kerana dia mula bertanyakan apa yang ada dalam bag , along segera tukar tajuk nak kemana dan datang dari mana . Sekali soalan yang kerap menjadi topik perbualan disorong kepada orang mabuk , memanglah nahas . Keluarlah cerita dari kelab malam ibukota Manchester sehingga diajak main 'game' yang dilakukan dalam kelab . Pelik-pelik lah , tapi layan tak layan je .


Second attempt , tukar tajuk buat apa sekarang kerja atau belajar . Maka perbualan menjadi berilmiah sedikit apabila masing-masing mengenalkan diri dan bidang yang dipelajari sekarang . Seorang muzik , seni lukis dan seorang lagi tak silap bahagian tarian . Ketika itu along pun turut berkongsi bidang kejuruteraan yang dipelajari di Liverpool . Oleh kerana dia tahu along pelajar , dia cuba untuk mengambil no. telefon untuk dihubungi bila mana bertandang ke Liverpool . Alasan sempoi "Sorry , I cant give you as it will confuse my girlfriend" alasan yang ringkas tapi tak benar menjadi noktah permintaanya itu . Tiba-tiba kegilaan GIRL 2 yang duduk bertentangan along menjadi-jadi apabila bangun dan duduk atas meja . Sambil berbisik kepada kawannya(GIRL 3) , kemudian dia berpaling nak berbisik kepada along pula . Apa yang nak dibisiknya ?

Allah maha besar , pertolongannya datang dengan tiba-tiba apabila kawan girl.no3 segera memberitahu along " She is gonna kiss you " . Cerita along elak ciuman dia disampaikan kepada rakan-rakan setelah tiba diLiverpool . Sebahagian kata alhamdulilah selamat , tak kurang juga yang mengeluh " Mak ai , kenapa kau tolak " .

Segera along kata "Mase aku cerita ni memang napok macang sedap , kalu mu kena gitu esok lusa tau lah siksanya nak tolok dugaan kalu kita takmboh wak maksiat . Masa ni buleh la mu beragah(boasting) , kena kekgi sejuk ketor la dlm tren .

Sketsa dalam tren malam tu banyak lagi , cuma suka along nak highlight bahagian ini sebab akan jadi satu fitnah esok lusa kalau tidak dizahirkan disini . Waktu along menolak ciuman dia , GIRL 2 segera duduk tetapi GIRL 1 pula ambil peranan tadi untuk cium . Dalam masa yang sama dia dah sedia dengan kamera dan sempat mengambil gambar keadaan along muka sedikit bengang dan menolak dengan tangan sambil pegang beg galas Arsenal . Kalau tak silap along ada 2 gambar , satu gambar semasa tolak ciuman dan gambar selepas ditolak . Along dah cuba cari dalam facebook selepas kejadian itu kalau-kalau mereka upload ke dalam internet tapi tak jumpa . Nak tracking orang dalam facebook banyak caranya dan cara yang along guna ketika itu ialah melalui nama mereka . Walaupun tak tepat tapi elok untuk dicuba .

Walau apa pun along tak nak selepas ini menjadi fitnah yang memburukkan nama keluarga kalau-kalau terjumpa gambar tersebut . Along bertanggungjawab untuk menyatakan disini supaya ia menjadi bukti dan kisah disebalik kejadian yang berlaku pada penghujung Mac 2010 ini . Keadaan gambar lebih kurang seperti diatas , dengan menggunakan teknik untuk berbisik mereka sebenarnya nak mencium pipi kita . Ini tips yang boleh diambil pengajaran baik lelaki atau perempuan .

Ustaz Arif Aiman dan Ustaz Nuruddin Asyraf

Sedap kan nama diatas , insyallah semoga ia menjadi realiti. Kembali kepada entri Dunia ini Kecil bukan , along , angah dan acik dah ummi abah aturkan dahulu untuk mendapat pendidikan sedemikian rupa . Kami bersekolah disekolah teknologi dan yang mempunyai dasar pendidikan kebangsaan . Sepanjang along bersekolah tak ada abang yang nak halang apa along nak buat . Perkara seperti main roba(pemadam) , anak cikgu , kacau org puan adalah perkara biasa sejak dulu lagi . Bukan niat along nak menghalang semua itu menjadi sebahagian kenangan hidup ateh dan adik selama diSekolah Rendah Darul Bayan . Tetapi mana yang kurang perlu dalam menjadikan pendidikan adiknya untuk cenderung kepada peribadi seorang Ustaz akan cuba di pelihara oleh along dengan petunjuk Allah .


Terngiang-ngiang lagi ditelinga along misi SMKAKA dahulu

"Ke Arah melahirkan inteletual yang berakhlak mulia dan bertaqwa melalui pendidikan berkualiti dan pengurusan efisien berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah"

Along selaku produknya masih lagi sedang berusaha menjadi seorang jurutera yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikalnya , insyallah jika ada sokongan dari Ustaz Arif Aiman dan Ustaz Nuruddin Asyraf , along akan berjaya juga dalam bidang agama yang wajib mahir .

Buat Ateh dan adik , semoga doa along selepas solat untuk melihat adik along ini menjadi ustaz menjadi kenyataan . Pernah ummi beritahu along ateh mempersoalkan "Bakpe ateh nye nak kena jadi Ustaz , org lain(abang2) dok pun ....:) . Bukan senang melihat budak darjah 5 untuk mempersoalkan hal sematang rupa , tetapi itulah hakikat keupayaan yang ada dalam diri ateh . Ateh baik dalam bahasa arab sejak umur 7 tahun , ateh mahir khatam al-quran diusia awal darjah 1 , ini membuktikan ateh ada bakat yang perlu diasah dengan baik

Along dah cuba nak buat dulu , tapi bukan rezeki along nak jadi ustaz atau hafiz . Kalau Ateh nak bukti , selongkar lah almari along dalam kotak kasut Puma , dalam tu ada kad harijadi ummi yang tercatat cita-cita lama along . Semoga permulaan langkah kejayaan ateh dalam UPSRI 2011 berterusan dengan menerima pendidikan sekolah menengah pilihan ummi . Dan ia berpanjangan dicontohi oleh adik selaku teman rapat ateh bersama-sama menuntut ilmu menjadi Ustaz yang berjasa pada agama , keluarga dan Terengganu tercinta .


Abang-abang mu ini sedia menyokong dan membantu 2 orang adiknya dalam kehidupan seorang pembantu agam Allah kelak . Buat Ummi dan Abah mungkin juga Ateh banyak berfikir

"Jadi ustaz kena gi ngajor la , duk surau balai .Kalu belajor mcm along kije ngate rawe buleh gi jalan-jalan luar negara "

Along ada seribu satu kisah kebaikan dan macam mana ustaz juga boleh merasai kehidupan dan keseronokan dunia ini dengan bonus mahir dalam bidang agama . Contoh terdekat lihatlah , Ustaz Erfino dalam entri Maulidur Rasul diatas , beliau ditugaskan menjadi ustaz kepada jabatan pendidikan Malaysia di bumi United Kingdom . Dah bertahun-tahun Allah bagi rezeki merantau ke sini , membuktikan bukan intelektual seperti doktor , jurutera , akauntan , arkitek , arkeologi sahaja yang boleh kesini bahkan Ustaz lebih berhak untuk berterbaran diseluruh pelusuk bumi untuk membantu agama Allah . Semua itu hanya memerlukan masa dan usaha untuk mencari dan mencipta peluang .

Along rasa setakat ini sahaja coretan along pada kali ini , semoga update ini dapat mengubat sedikit rindu kepada keluarga yang tercinta di Malaysia . Segala yang baik datang dari Allah taala , yang buruk itu datang darinya jua ditransformasi kan kedalam diri kita untuk mengingatkan akan kelemahan diri kita . Doakan semoga along baik-baik disini dan berpeluang untuk menulis lagi , insyallah . Sekian sahaja dari anakanda yang jauh perantauan .


Along
Mulberry Court , 11:31pm

No comments:

Post a Comment