Thursday, August 26, 2010

Ramadhan 1431H

Musibah & Magfirah

Catatan ini ditujukan khas buat keluarga tercinta di Paka , Terengganu

Setelah sebulan lamanya kembali kepangkuan keluarga tercinta , waktu yang sama mengizinkan pihak Universiti untuk memproses segala maklumat berkenaan keputusan peperiksaan semester kedua sesi akademik 2009/2010 . Walaupun ianya bukanlah suatu yang manis untuk dikongsikan , along percaya apa yang berlaku kali ini akan membuahkan satu hikmah yang sangat berharga . Tahun pertama pengajian diUnited Kingdom kini menempuh jalan sukar untuk layak ke tahun keduanya apabila 2 subjek daripada 14 subjek yang diambil mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan . Perkara ini sememangnya telah dijangkakan seawal dari hari peperiksaan lagi kerana kurangnya fahaman dengan apa yang telah diajar oleh pensyarah . Bahkan proses mengulangkajinya telah dilakukan dengan penuh iltizam , apakan daya Allah tidak mengizinkan untuk lulus buat kali pertama ini .


Resit August Paper


Setelah mengetahui terdapat 2 keputusan gagal daripada 14 subjek tahun kedua , langkah seterusnya ialah mengatur peperiksaan ulangan melalui pegawai peperiksaan Universiti dengan kerjasama British Council Malaysia yang beribu pejabat di Selangor Dredging Block . Pilihan ini terpaksa diambil kerana tiket penerbangan balik semula ke UK telah dibeli untuk balik selepas Hari Raya Aidilfitri . Jsuteru prosedur peperiksaan yang diambil di negara sendiri dan dibuat diluar Universiti sebegini akan menelan belanja besar untuk kos pentadbiran , penghantaran skema soalan dan jawapan dari UK ke Malaysia. Kira-kira RM1,400 (RM700/1subjek) dikenakan untuk mengambil peperiksaan ulangan ini pada bulan Ogos . Kos ini tidak termasuk dengan yuran pentadbiran di Liverpool kira-kira sebanyak RM300 . Bercakap tentang kos memang ia satu jumlah yang agak besar untuk harga sebuah ijazah dan kejayaan ini . Jalannya kini menjadi semakin jauh dari segenggam kejayaan yang selama ini dituai dengan mudah . Semoga peperiksaan pada September ini berjaya dilepasi dengan jayanya .



High Pressure Water Jet

Nasib badan cuti 3 bulan yang menjanjikan peluang untuk berehat tenang bersama keluarga dihantui dengan perasaan yang gugup dengan peperiksaan yang menjelang tiba ketika semua umat Islam bersiap-siap menghadapi kedatangan bulan mulia Ramadhan 1431H. Justeru untuk terus menghilangkan kegundahan hati ini , maka peluang berada dihalaman tercinta mesti dimanfaatkan sebaiknya dengan niat ia dapat menghilangkan keresahan . Tekanan didalam jiwa mesti dilepaskan dengan mencari sesuatu yang boleh mengendurkannya . Lantas pagar rumah yang berkulat itu dijadikan medan puitis lakaran jiwa raga ini . Kos sebuah mesin pencuci air bertekanan tinggi(high pressure water jet) tidak ku hiraukan jumlahnya berbanding kepedihan menanggung ujian ini . Lantas Alah menggerakkan diri ini menyunting sebuah unit disebuah kedai 'hardware' Kampung Nyior milik bumiputera . Alangkah lebar senyuman tuan kedai , keluarga dan jiran yang menumpang gembira apabila melihat mesin itu dimilikiku . Betapa rezeki yang Allah kurniakan itu luas maknanya ? Seorang penjual berjaya dalam jualannya , sepasang suami isteri diringakan beban dengan anak yang sanggup mengeluarkan belanja untuk membersih rumah , seorang anak muda yang mempunyai masalah dihadiahkan senyuman yang mengbat keresahannya dan jiran-jiran disekeliling manusia ini melihat suasana gamit proses membersih dalam kampung halamannya menetap .


Fence Cleaning Work


Kerja-kerja membasuh pagar tanpa disangka telah melewati dari masa yan dijangka . Lantas membasuh pagar dalam bulan Ramadhan bukanlah suatu kerja yang ringan . Walau dibantu oleh mesin tetapi apabila bermain dengan percikkan air sepanjang hari memang meletihkan . Setelah 3 minggu lamanya , pagar selebar 5 meter itu siap dicuci . Tujuan asal ianya dibersihkan adalah untuk membuang kulat dan menyau cat baru . Malangnya Abah tak beli-beli lagi cat . Bila ditanya nak cat warna apa ? "Ada lah , nanti Abah beli sendiri " . Mungkin sahaja sudah ada warna kegemaran yang dicadangkan oleh orang tua ku tetapi tidak dinyatakan kerana bimbang kalau-kalau along beli pula . Bercakap tentang mengecat , lazimnya kerja-kerja ini meibatkan sedikit teori teknikal . Cat selalunya dikategorikan dalam 3 lapisan . Lapisan asas biasanya paling mahal , cat anti kulat paling sesuai untuk simen dan keadaan luar rumah . Kemudian cat lapisan kedua(secondary) dan lapisan muka (primary) . Justeru jangan ditanya mengapa kerja-kerja mengecat mengambil masa yang lama . Selain daripada prosesnya terpaksa diulang sebanyak 3 kali untuk satu kerja permukaan dan bersesuaian dengan masa (awal pagi sesuai , tika matahari terik) , tukang cat juga perlu memastikan bancuhan betul , lapisan disapu rata dan tidak ada bentuk yang kontradisi dipermukaan (berbelang-belang) .


KLCC As-Syakirin


Perjalanan prosedur mengambil peperiksaan ulangan diteruskan walaupun tekanan melanda diri dengan hebat . Penat berpuasa disiang hari sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk tidak berjaya menelaah pelajaran dengan baik . Perjalanan mengambil masa 5 jam lamanya dari Paka Ke Kuala Lumpur menaiki Bas Ekspress Sani . Perkhidmatan Bas ini telah aku gunakan sejak 5 tahun dahulu masih dalam keadaan baik , malah tyelah banyak berubah dari segi keselesaan perkhidmatannya . Setiba sahaja di Kuala Lumpur , rumah Suffian sahabat karib sekampung dijadikan tempat berteduh kerana hanya beliau berkelapangan sementara teman atau saudara yang lain sibuk serta rumah mereka tidak sesuai untuk ditumpang untuk persediaan peperiksaan ini . Setiap hari along berulang alik dari Damansara Height ke Perpustakaan Negara , solat disana dan berbuka puasa di Masjid KLCC As-Syakirin . Shukur dan gembira tak terkata bila melihat didalam hiruk piruk kota Kuala Lumpur masih ada hamba allah yang istiqamah melawan ujian untuk meimarahkan masjid . Mereka adalah manusia yang sangat berkualiti kerana ramai mana yang tertewas dengan pancaroba Kuala Lumpur tidak dapat bersama dek leka dibuai keseronokan ang ada dalam isi perut bandar ini .

Dalam menghabiskan kiraan subjek Dinamik Sistem , di Masjid As-Syakirin dipenuhi manusia beratur panjang ketika hari semakin hampir dengan waktu berbuka . Ini kerana mengambil makanan percuma yang disediakan oleh penyumbang yang bermurah hati kepada masjid . Dalam melewati setiap wajah umat Islam itu , tiba-tiba terdetik dalam fikiran kenapakah jumlah yang hadir untuk berbuka lebih banyak berbanding yang berada dalam saf solat Maghrib , Isyak dan tarawih . Maha Kuasa Allah yang berupaya menujukkan pelbagai kisah dalam satu kejadian ringkas . Umat Islam itu ramai dan terdiri dari pelbagai jenis bangsa , keturunan , warna kulit , berlainan bahasa dan budaya mencerminkan rasionalnya Islam disebalik kepelbagaian manusia . Tetapi Umat Islam pada waktu yang sama adalah manusia biasa yang akan terdidik dan terpandu jalan kehidupan bersandar kepada amalan , Umat Islam masa kini tidak kira dimana hatta ditanah para anbiya' , jumlahnya amat ramai tetapi mereka masih lemah . Benarlah apa yang dikata oleh sabda Nabi , Umat Islam akhir zaman umpama buih dilautan tetapi mereka lemah kerana terkena penyakit Al-Wahan iaitu cinta kepada dunia . Matlamat utama lebih kepada kesenangan dunia , kehendak dan haluan duniawi tidak selari dengan tuntutan dunia abadi iaitu alam Akhirat .

Dicelah manusia yang beratur panjang , masih ada lagi perasaan tamak dengan jumlah makanan yang diberikan , tidak cukup dengan sepinggan juadah malah ada yang berani menipu dengan mengambil 2-3 juadah ditempat bertaur yang berlainan . Sungguh hati ini sangat kesal dengan apa yang berlaku . Wajah aneh juga dapat dilihat didalam deretan manusia itu , mereka dilihat sangat tidak terurus . Along teringat akan novel yang pernah menyebit Kutu Kuala Lumpur , barangkali inilah kehidupan mereka . Sangat jauh dan banyak sekali usaha yang perlu dilakukan untuk memulihkan keadaan . Politik pendidikan rasionalnya menyebut sesuatu perkara yang dilakukan oleh rakyat adalah dipelajari dari pemimpinnya . Hati ini mengeluh panjang dek perjalanan untu bersama dengan perjuangan menegak agama di bumi Malaysia ini untuk diri ini masih tersekt dicelah peperiksaan ulangan ini . Subhanallah , betapa adilnya Allah meletakkan ganjaran kepada setiap perilaku yang kita usahakan . Maka nikmat bermusafir diMasjid ini menjadi suatu pengalaman yang sangat berharga dan terpelajar . Semoga suatu hari nanti aku mampu bertugas diKLCC dan mengimarahkan masjid ini lagi disetiap 5 waktu tuntutan solat .


British Council Exam


Setelah 2 hari lama mengambil masa mengulangkaji di Kuala Lumpur , tiba masanya untuk dicurahkan kedalam kertas jawapan yang dibekalkan khas dari United Kingdom di bangunan British Council , Selangor Dredging Block . Hanya diri ini yang tahu betapa seriusnya usaha untuk menjawab soalan dengan baik tetapi malangnya ia tidak baik seperti yang dijangkakan . Setelah peperiksaan tamat along melawat Akil yang dimasukkan ke Wad PPUM kerana demam denggi . Ketika along sampai Pok Ha hanya menunggu kata putus dari doktor untuk melaporkan samaada akil boleh pulang atau tidak hari itu . Keadaannya semakin pulih dan ceria bermain dengan Kakaknya Aina . Tak bayak dan tak berapa ramah sikap yang dapat along tonjolkan kerana jauh dalam sudut hati ini sangat pilu dengan peperiksaan yang dihadapi . Walaubagaimanapun kehidupan tetap berlalu seperti biasa dan waktu tidak pernah menunggu untuk seseorang berduka sebelum berjaya memulakan nafas baru yang segar dalam dunianya . Hukum alam membawa along kepada satu petang yang penat dan kecewa tetapi ianya diubati dengan berita baik Akil yang dibenarkan pulang setelah disahkan sihat ke rumah . Petang itu hanya sekejap sahaja masa yang diperuntukkan untuk menolong Pok Ha balik kerumah di Kerinci .

Setelah mengambil rehat sekejap sehingga jam 4 petang , along memohon diri untu berangkat ke Masjid As-Syakirin . Ucapan terima kasih along sampaikan kepada pelawaan Pok Ha untuk berbuka dirumahnya , along lebih senang untuk bersama dengan masyarakat dan memberi peluang petang yang pertama Akil dengan keluarganya setelah seminggu berbuka di dalam wad PPUM . Malam itu setelah berbuka dan solat , along terus ke rumah Suffian untu mengemaskan barang pakaian untuk pulang ke desa halaman keesokannya . Perjalanan bulan Ramadhan berakhir setelah menghabiskan bulan puasa di Paka dan 1 Syawal disambut dengan penuh bermakna setelah bertahun-tahun diperantauan bersama keluarga di Kampung Losong , Kuala Terengganu . Semoga bertemu lagi didalam entri yang akan datang . Salam lebaran buat semua umat Islam diseluruh dunia , semoga madrasah Ramadhan menjadi satu platform melatih kembali diri menjadi muslim yang baik dan segala pelajaran yang ada didalamnya dapat diteruskan dengan istiqamah sepanjang tahun sebelum menemuinya lagi dimasa akan datang .

Wallahualam

Along, Masjid As-Syakirin , KLCC